Sunday, May 15, 2011

TEKS UCAPAN SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH 2011

Bismillah hirrahman nirRahim.
Alhamdulillah hirabbil aalamin. Wassalatu wassalamu ala asrafil anbia' iwal mursalin, waala alihi wasahbihi ajmain.

Yang Berbahagia Encik Bidi bin Abdullah, YDP PIBG SMKKRA, Guru-guru Penolong Kanan, AJK PIBG, Guru-guru, seterusnya pelajar-pelajar SMKKRA yang cikgu hormati lagi kasihi sekalian.

Bersyukur ke hadrat Ilahikerana pada pagi yang mulia ini kita sama-sama berpeluang untuk meraikan sambutan Hari Guru 2011 bersamaan dengan kali yang ke 40 yang pernah diadakan. Sambutan Hari Guru adalah hari yang khusus dianugerahkan kepada kaum guru sebagai pengiktirafan negara kepada kaum guru. Terlebih dahulu saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerabat kerja sambutan hari guru SMKKRA 2011 yang terdiri daripada barisan AJK KEKAR dan juga badan pengawas yang telah bertungkus lumus merancang dan mengatur aktiviti sambutan. tahniah dan terima kasih.

Tuan puan dan pelajar-pelajar yang dihormati lagi disayangi sekalian.

Insya Allah, saya akan bahagikan ucapan saya ini kepada dua bahagian.
i. Permintaan pengetua kepada pelajar-pelajar
ii. Renungan buat diri dan guru-guru

Pelajar-pelajar putera puteri SMKKRA yang disayangi.
1. Yakinlah bahawa anda semua mempunyai potensi untuk mencapai kejayaan
2. Yakinlah bahawa emua guru sekolah ini sayang kepada anda
3. Yakinlah bahawa sekolah ini adalah tempat terbaik untuk kamu menimba ilmu
4. Yakinlah bahawa warga sekolah ini ingin melihat kamu mencapai kejayaan yang cemerlang
5. Yakinlah bahawa sekolah ini memberi ruang sepenuh-penuhnya untuk kamu mencungkil bakat dan menonjolkan potensi diri
6. Yakinlah bahawa guru-guru adalah manusia berhati mulia yang ingin melihat pelajar berjaya. Oleh itu hormati dan patuhi arahan dan kata-kata guru.
7. Kenangkan harapan dan pengorbanan ibu bapa pelajar-pelajar yang membanting tulang untuk mempastikan pelajar-pelajar dapat bersekolah dan mencapai kejayaan pada masa hadapan.
8. Gunakan masa mudamu untuk kamu mencari bekalan ilmu bagi menjami masa hadapan.
9. Jangan lepaskan peluang belajarmu agar kamu tidak menyesal di kemudian hari.
10. Kejayaan hanya tercapai oleh manusia biasa dari keluarga biasa yang belajar di sekolah biasa tetapi mempunyai semangat dan usaha yang luar biasa.

Renungan buat guru-guru dan aku.

Bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana memilih kita untuk berkhidmat sebagai seorang guru. Profesyen guru adalah bidang yang paling mulia dan disanjung tinggi oleh masyarakat. Ilmu yang ditinggalkan oleh guru-guru yang berdedikasi akan sentiasa dingati oleh setiap anak muridnya walaupun dia telah tiada. Jadilah kita seorang guru yang boleh mencetuskan inspirasi kepada anak-anak murid kita. Izinkan saya memetik ungkapan:

Bad teacher complaints
Good teacher explain
Better teacher demonstrates
Best teacher motivates
Great teacher inpires

Sejak dahulu lagi, guru-guru dikenali sebagai agen perubahan kepada masyarakat. Tema hari guru pada tahun ini "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara" menghendaki kita, kaum guru memahami dan menghayati aspirasi negara yang ingin menjadikan malaysia sebagai salah sbuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Modal insan yang dihasilkan melalui pendidikan sahaja akan dapat mempastikan visi tersebut akan tercapai. kaum guru semestinya tidak liat untuk sanggup berubah. perubahan dari segi cara berfikir, cara bertindak dan cara menangani sesuatu isu yang kita hadapi dalam memberikan pendidikan berkualiti kepada anak-anak pelajar kita.

saya cukup yakin, guru-guru SMKKRA bersedia untuk menggalas tanggungjawab ini. Apa yang penting ialah kita mestilah saling bekerjasama, bantu membantu dan rela berkorban.

Pepatah Melayu ada berpesan:

Tidak menguning padi dek kerana setangkai
Tidak menghijau rumput dek kerana serumpun
Tidak mekar sejambak bunga dek kerana sekuntum
Tidak akan tegak sebuah rumah dek kerana satu tiang.

Oleh itu, harapan saya, sempena dengan sambutan hari guru ini, guru-guru bersama-sama memurnikan niat meningkatkan azam dan membaiki kualiti diri bagi menjayakan agenda Kegemilangan SMKKRA yangs ama-sama kita hasratkan.

Insya Allah, sekiranya sekolah kita mencapai kejayaan cemerlang dalam PMR dan SPM nanti, PMR : 3 orang Semua A & GPS 2.79 dan SPM 1 orang semua A dan GPS 5.72, saya berjanji dengan bantuan PIBG dan kelab KEKAR bagi menjayakan Majlis Kesykuran pada Hari Guru 2012 nanti.

Akhir kata, saya tutup ucapan saya dengan Pantun Hari Guru

Puluhan tahun tempat tersemat
Rantau Abang tanah penyu
Enam belas Mei tarikh keramat
Bagi mengenang jasa guru

Hendak berburu di Kuala Abang
Banyak sitar dan juga punai
Jasa guru jika dibuang
Ibarat jalan tidak berdenai

Angin menderu dengan sepoinya
Di Kampung Baru tanahnya lapang
Kasih guru akan muridnya
Masa dan tenaga rela korbankan

Seberang Pinatasan Teluk Bidara
Teritip penuh di atas batu
Kasih murid akan gurunya
Terus berusaha menggalas ilmu

Rhu Batil inilah tempat
Kompleks sekolah tersergam indah
Tanpa ilmu hidup merempat
Diri dihina tiada yang endah.

Sekian, selamat hari guru 2011, Terima kasih cikgu.

MOHD ALIZIYAD BIN ABAS
Pengetua
SMK Kompleks Rantau Abang, Dungun

15 Mei 2011, 11.30 malam

No comments:

Post a Comment