Wednesday, May 15, 2013

PERUTUSAN HARI GURU 2013
"Guru Malaysia: 1Aspirasi 1Agenda"
 
Guru-guru SMK Padang Pulut.
Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera.
Bersyukur kehadrat Ilahi atas kurniaan dan rahmatNya kita dapat sekali lagi meraikan Sambutan Hari Guru Tahun 2013. Selamat Hari Guru dan Terima Kasih Cikgu saya rakamkan kepada semua warga guru SMKPP. Doa saya agar kita terus diberikan kesihatan dan keupayaan untuk menjayakan aspirasi dan agenda PPPM 2013-2025.
 
Sebagai warga pendidik, Hari Guru adalah hari untuk kita membuat muhasabah diri dan menambahbaik tugas berat yang diamanahkan kepada kita. Adakah kehadiran kita selama ini mampu memberikan impak yang besar kepada anak didik kita? Adakah  kita mampu menjadi seorang guru yang menjadi inspirasi kepada anak didik kita? Adakah kita mempunyai cukup komitmen, dedikasi dan kesabaran yang mantap bagi menempuh cabaran pendidikan pada masa sekarang dan masa hadapan?
 
Saya amat yakin dan percaya, warga pendidik SMKPP mempunyai iltizam dan semangat juang yang tinggi bagi memartabatkan sekolah kita ke tahap yang lebih cemerlang dan menghasilkan modal insan terbilang. Usaha-usaha yang kita laksanakan sebenarnya telah mencipta kejayaan dan Insya Allah akan terus  berkembang.
 
Atas usaha dan komitmen guru-guru,  saya ucapkan ribuan terima kasih. Marilah kita sama-sama bergerak dengan lebih maju ke hadapan secara SEPADU. Selamat Hari Guru, Terima Kasih Cikgu.

Ikhlas daripada,

MOHD ALIZIYAD BIN ABAS
Pengetua SMKPP.

Wednesday, November 23, 2011

CIRI-CIRI SEORANG PEKERJA YANG BAGUS

Berikut adalah antara sifat-sifat yang harus ada kepada seseorang guru bagi mempastikan Transformasi Pendidikan tercapai.
1. Berfikiran Positif : Berupaya untuk melihat situasi  dan orang daripada sudut yang positif. 
2. Paras Tenaga Yang Tinggi : Bertenaga serta mempunyai stamina untuk bekerja keras dan tidak mudah mundur
3. Integriti : Dipercayai, tabiat baik yang kukuh, kata-kata dan perbuatan seiringan.
4. Bertanggungjawab : Sentiasa menyempurnakan tugas, tidak memberi alasan, tugas yang diberi sentiasa selesai.
5. Imej Kendiri Yang Baik : Berasa yakin pada diri sendiri, pada hidup dan orang lain.
6. Tenaga Mental : berupaya untuk terus belajar seiring dengan pertambahan tugas.
7. Daya Kepimpinan : Berpengaruh ke atas orang lain.
8. Daya Kepengikutan : Kesediaan untuk patuh, bekerja dalam pasukan dan menuruti ketua.
9. Tiada Masalah peribadi : Urusan peribadi, rumahtangga dan kehidupannya terurus rapi.
10. Kemahiran Interpersonal : Keupayaan menawan orang dan mengembangkan potensi mereka.
11. Unsur Kecindan : Mesra dan mudah berjenaka
12. Daya Ketahanan : Berupaya untuk bingkas semula apabila berdepan dengan masalah
13. Rekod Yang Baik : Mempunyai kejayaan dan pengalaman.
14. Daya Keinginan  Yang Tinggi  : Keinginan untuk membangundan mengembangkan potensi diri.
15. Disiplin Diri : Bersedia untuk berkorban dan menangani kejayaan.
16. Kreatif Dan Inovatif : Berupaya untuk mencari penyelesaian dan merungkaikan masalah mengikut perspektif yang berbeza.
17. Elastik dan Dinamik : Tidak gentar untuk berubah, cair dan mengalir mengikut perubahan organisasi
18. Holistik : Berupaya untuk melihat secara total dan melimpasi kepentingan diri
19. Instuitif : Boleh meramal dan merasai sesuatu situasi tanpa data yang konkrit

RETROSPEKSI DIRI SEMPENA MAAL HIJRAH 1433

Selamat Tahun Baru 1433Hijrah.

Kedatangan Tahun Baru Islam seharusnya disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan.

Memperingati kisah perjuangan Rasulullah dan para sahabat yang  berhijrah bagi memelihara keimanan dan agama Islam menjadikan diri kita merasa sangat kerdil dan kecil dibandingkan dengan mereka.

Tiada lagi Hijrah sesudah Rasulullah s.a.w , tetapi yang ada  adalah berjihad ke jalan Allah. Jihad yang paling dituntut adalah jihad melawan nafsunya dalam usaha mentaati Allah dan berhijrah daripada apa yang dilarang oleh Allah.  Hijrah diertikan sebagai membawa sesuatu perubahan daripada buruk kepada baik atau daripada baik kepada yang lebih baik kepada diri seseorang. Oleh itu, keikhlasan untuk melaksanakan hijrah kepada perubahan diri amat penting. Niat untuk melakukan hijrah itu hendaklah kerana Allah, bukannya mengharapkan sesuatu yang lain daripada keredhaanNya.

Hadis Rasulullah s.a.w yang  diriwayatkan daripada  Saidina Umar al-Khattab r.a, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu hendaklah disertakan dengan niat:. Setiap perlakuan seseorang itu mesti ada niat dan tujuannya. Sesiapa yang  berhijrah kerana Allah dan Rasulullah, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan rasul. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapat dunia dan wanita yang akan dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah apa yang diniatkannya.

Pengajaran daripada peristiwa hijrah rasulullah s.a.w dan sahabatnya boleh dijadikan panduan dan titik tolak  kepada kita bagi menentukan sikap, strategi dan perancangan kerja buat kita. Jika kita inginkan kemajuan, maka kita mesti berhijrah atau berubah atau transformasi, kerana perubahan itu adalah merupakan fitrah kejadian makhluk ciptaan Allah s.w.t. Umpama rumput, kenapakan rumput boleh tumbuh dan hidup dimana-mana sahaja? Fauna dan flora zaman purba yang masih kekal hidup pada zaman ini , sedangkan ramai daripada kumpulan haiwan dan tumbuhan purba yang telah pupus. Ini kerana, salah satu ciri  makhluk yang boleh mengekalkan generasinya adalah melalui hijrah.  Kesimpulannya, jika kita ingin mencapai kemajuan, maka ia perlu membuat anjakan paradigma ke arah yang dikehendakinya.

Dalam menjana perubahan bagai sesebuah organisasi sekolah, beberapa aspek yang boleh dijadikan ikhtibar daripada peristiwa hijrah. Antaranya ialah Kepimpinana Melalui Teladan. Untuk berubah, maka pengetua dahulu yang perlu berubah terlebih dahulu. Tanpa teladan daripada pengetua, maka pengikut-pengikutnya tidak mungkin boleh dipaksa untuk berubah.

Hijrah juga membuktikan, kegigihan dan kesepaduan  gerak kerja para sahabat. Semangat dalaman yang kental dan sanggup berkorban menghadapi cabaran dan kepayahan adalah resepi kejayaan sesebuah organisasi untuk berubah. Jika semangat sanggup berkorban dan sanggup untuk berusaha sehabis tenaga ada pada setiap ahli organisasi, maka tidak mustahil  sekolah yang kurang berjaya akan mampu mengangkat darjatnya dalam jangka masa yang singkat.

Hijrah juga menuntut kerja secara berpasukan. Organisasi yang ingin menjana sesuatu perubahan ke arah kecemerlangan, harus menggunakan segala tenaga kepakaran ahli-ahlinya yang pelbagai dengan


Hadis Rasulullah, diriwayatkan daripada Saidina Umar al-Khattab bermaksud, sesungguhnya sesuatu amalan itu hendaklah disertakan dengan niat. Niat yang murni dan ikhlas pasti akan menghasilkan gerak kerja yang bersih dan berkualiti. Kejayaan sesebuah organisasi dalam menjalankan peranannya adalah amat bergantung kepada sejauh mana keikhlasan kerjabuat pekerja-pekerjanya.  Sesebuah organisasi sekolah, contohnya. sangat bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh guru-guru. Kecemerlangan sekolah bermakna kecemerlangan kerja buat guru-guru. Adalah sangat janggal sekiranya kerja buat guru-guru sekadar cukup syarat dan hanya mencukupkan masa bekerja akan menghasilkan sekolah yang cemerlang. Sekolah cemerlang terhasil dengan gemblingan tenaga guru-guru yang bekerja dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh. Kerja buat yang dilakukan adalah semata-mata untuk melihat kejayaan yang bakal dicapai.

Akhirnya, selaku seorang penjawat awam, bagi memenuhi semangat dan roh hijrah rasulullah, marilah kita sama-sama melakukan penghijrahan minda ke arah  pekerja yang sanggup belajar dan terus belajar bagi memantapkan lagi kemahiran dan pengetahuan kita dan seterusnya menjayakan hasrat dan harapan negara. Selamat tahun baru 1433 Hijrah.

Sunday, November 20, 2011

MAJLIS JASAMU ABADI : TUAN PENGARAH PELAJARAN TERENGGANU

Warga pendidik Terengganu telah kehilangan seorang tokoh pendidikan yang telah berjaya membawa kelestarian keterbilangan pendidikan Terengganu pada hari ini(20.11.2011). Pengarah Pelajaran Terengganu yang ke 42, En Razali bin Daud telah menjalankan tugas sebagai pengarah selama 1 tahun 20 hari iaitu bermula 1 November 2010 dan bersara daripada jawatannya pada 20.11.2011. Tarikh sebenar  persaraann beliau adalah 28.11.2011. Sepanjang tempoh setahun beliau memegang jawatan pengarah, banyak inovasi dan kejayaan yang telah dibawa kepada pendidikan Terengganu, antaranya adalah beliau memperkenalkan bacaan al-qur'an sebelum masuk kelas, mengembalikan kecemerlangan sekolah premier, memasyarakatkan pendidikan Terengganu, memantapkan pelan strategik 3 tahun JPNT dan sebagainya.

Kegemilangan pendidikan Terengganu terus dikekalkan pada tahun 2011 dalam semua aspek, antaranya ia terbukti dengan keputusan UPSR 2011, Terengganu terus unggul buat tahun ke-11 dengan peratus semua A, 15.6% dan GPS 2.14.

Encik Razali bin Daud yang saya kenali, sejak beliau berkhidmat sebagai Pengetua SBPI Batu Rakit sekitar tahun 2005-2006 adalah seorang yang lembut tetapi tegas, mmempunyai ketajaman fikiran dan penganalisis yang  tepat, bersifat  merendah diri dan seorang yang sangat mudah didekati.

Dari segi rekod perkhidmatan beliau,  beliau berkhidmat sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan selama 34 tahun, 7 bulan dan 14 hari. Bertugas di 8 buah sekolah, pernah menjadi pengetua di 6 buah sekolah. Menjadi Pegawai Pelajaran Daerah di 2 buah daerah, menjadi Ketua Sektor dan juga Timbalan Pengarah pelajaran negeri Terengganu.

Antara kata-kata nasihat terakhir beliau kepada pengetua-pengetua semasa jamuan perpisahan bersama MPSM pada 15.10.2011 di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu ialah:
1. Guru-guru dan pengetua perlu tahu prioriti tugas.
2. Pekerjaan sebagi pendidik adalah kerja mulia. Teruskan usaha, komitmen dan jangan berputus asa sehingga Allah memberi kejayaan kepada kita.
3. Bila mendapat pangkat, jangan sekali-kali sombong. Pangkat adalah amanah. Ingat tempat asal kita di mana
4. Kita kena bantu, jangan jatuhkan orang lain untuk kita naik
5. Berikan kemaafan kepada orang.
6. Jangan wujudkan kroni.

Selamat bersara, Tuan Pengarah. Syabas dan Tahniah atas kecemerlangan karier tuan. Jasa dan pengorbanan tuan  sebagai seorang guru dan pegawai pelajaran akan terus kekal tersemat bersama-sama dengan sejarah kecemerlangan yang tuan tinggalkan. Semoga misi dan visi beliau akan diteruskan oleh  pengarah yang bakal yang menggantikan beliau nanti.

Sunday, July 24, 2011

MAJLIS BERSAMA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA PERINGKAT NEGERI TERENGGANU

Pada 21 Julai 2011 , Khamis yang lepas, saya berkesempatan menghadiri majlis merekayasa program-program dan dasar-dasar baru KPM kepada semua pengetua, guru besar dan PIBG sekolah-sekolah Terengganu bertempat di dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Daripada penjelasan dan konferensi dalam majlis ini, ia menggambarkan hasrat KPM untuk membuat transformasi kepada sistem pendidikan negara kita agar kualiti sistem pendidikan kita bertaraf dunia dan dalam masa yang sama ia boleh menjayakan misi menjadikan Malaysia negara Maju berpendapatan tinggi.

Antara dasar-dasar baru yang diperkenalkan ialah:

1. Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI)

Dasar MBMMBI telah diputuskan oleh Kabinet pada 8 Julai 2009 bertujuan untuk menambahbaik Dasar PPSMI. PPSMI yang bermula pada tahun 2003 telah menimbulkan polemik dan ketegangan yang berterusan daripada kalangan masyarakat. Rasional dasar ini diwujudkan adalah (i) Bahasa Inggeris dalam PPSMI telah menghakis kepentingan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu, (ii) Penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar yang mantap telah dilaksanakan sejak tahun 1970-an lagi, (iii) Kebanyakan negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa ibunda masing-masing dan (iv) PPSMI melebarkan lagi jurang pencapaian sains dan matematik antara murid di bandar dengan murid luar bandar.

Melalui dasar MBMMBI ini, ia berhasrat untuk meletakkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, bahasa pengantar dan bahasa perpaduan negara manakala Bahasa inggeris pula diperkukuhkan sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu. Matlamatnya adalah untuk melahirkan warga negara Malaysia yang fasih dan yakin untuk menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris standard.

Strategi MBMMBI digubal dengan cara:
1. Mentransformasi kurikulum BM dan BI
2. Memantapkan kapasiti guru-guru BM dan BI serta berkongsi kepakaran dengan penutur jati BI dan guru-guru kontrak.
3. Memperluaskan bahan dan TMK dalam BM dan BI.
4. Menempatkan guru-guru BM dan BI mengikut opsyen ikhtisas.
5. Meningkatkan penyertaan murid dalam aktiviti bahasa.
6. Mengukur pencapaian murid berdasarkan standard prestasi (PBS)

2. Transformasi Kurikulum
(Kurikulum Standard Sekolah Rendah, KSSR dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah, KSSM)

Kurikulum yang digubal sebagai agen perubahan untuk melahirkan insan murid yang berkualiti.
a. Berfikir secara kritikal dan bertindak rasional
b. Bersedia untuk bersaing dan membudayakan semangat untuk menerokai bidang-bidang baru yang mencabar.
c. Belajar, bekerja dan bekomunikasi dengan berkesan
d. Dapat mengakses dan menggunakan ICT
e. Dapat mengaplikasi dan meningkatkan budaya pembelajaran sepanjang hayat
f. Dapat mendisiplin diri dan masyarakat.

Kurikulum standard ini juga digubal bagi membolehkan pelajar-pelajar didedahkan kepada kemahiran belajar abad ke-21 iaitu (i) dapat berfikir secara kritis dan penyelesaian masalah, (ii) mempunyai kesedaran global, (iii) self directed / terarah kendiri, dan juga (iv) mampu belajar secara kumpulan / kolaborasi.

3. Transformasi pentaksiran
(Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan, SPPK)

Melalui transformasi pentaksiran, pelaksanaan PBS dan juga penambahbaikan UPSR dan PMR dimulakan kepada murid-murid Tahun 1 2011 dan murid-murid Tingkatan 1 pada tahun 2012. dasar pelaksanaan PBS lebih bersifat holistik dan mampu menilai jasmani, emosi, rohani dan intelek pelajar-pelajar. Tujuan PBS adalah untuk (i) memberi penekanan kepada JERI pelajar-pelajar, (ii) pentaksiran yang sedia ada lebih memberi penekanan kepada peperiksaan semata-mata, (iii) pentaksiran yang sedia ada memberi pengiktirafan yang keterlaluan kepada pencapaian akademik semata-mata sehinggakan memberikan tekanan kepada guru, murid dan ibu bapa, (iv) pentaksiran sedia ada menilai produk akhir sahaja dan mengabaikan proses pembelajaran, (v) ia dapat memartabatkan profesyen keguruan melalui guru lebih tahu akan anak muridnya dan (vi) mengambil kira sistem pentaksiran di beberapa negara maju telah berubah.

Walau bagaimanapun, kejayaan PBS banyak bergantung kepada cara kita mengatasi cabaran-cabaran berikut iaitu:
1. kesediaan dan kemahiran guru untuk melaksanakan PBS. Ini diatasi melalui program latihan dan pemantapan yang menyeluruh.
2. Beban tugas guru yang bertambah. Ia diatasi melalui penerangan dan sistem automasi pelaporan PBS
3. Integriti guru diragui. Ia diatasi dengan pemantauan, pementoran, pengesanan dan penyelarasan yang berterusan dari pelbagai peringkat.


4. Transformasi Pendidikan Teknik dan Vokasional

Dasar ini akan bermula pada tahun 2012 melalui KSSM di mana pendidikan vokasional & teknik (PVT) akan digabungkan di peringkat sekolah menengah rendah berbanding dengan sebelum ini mempunyai pelbagai elektif dalam KHB.PVT menggantikan KHB dengan hasrat:
i. Menuju negara maju menjelang 2020
ii. masyarakat berpendapatan tinggi
iii. Mengarus-perdanakan pendidikan vokasional
iv. Menjadikan aliran vokasional sebagai pilihan utama
v. Laluan kerjaya yang jelas bagi aliran vokasional

Melalui dasar ini juga ia dapat memenuhi keperluan kemahiran tenaga kerja abad ke-21 iaitu (i) komunikasi, (ii) kerohanian, sikap dan nilai, (iii) kemanusiaan, (iv) ketramplan diri, (v) perkembangan fizikal dan estetika dan (vi) sains dan teknologi.


5. Dasar 1 Murid 1 Sukan

Dasar ini diperkenalkan pada tahun 2010 yang mana setiap murid diwajibkan untuk menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sikan di sekolah. Melalui dasar ini, ia akan dapat melahirkan pelajar yang seimbang. Pendekatan pelaksanaan dasar ini adalah (i) program skan umum melalui merentas desa, sukantara dan kejohanan balapan dan padang, (ii) aktiviti kelab sukan dan permainan (iii) pertandingan dalaman seperti pertandingan antara rumah atau antara tingkatan dan (iv) Pertandingan-pertandingan lain seperti MSSD, MSSN, MSSM serta peringkat antara bangsa. Penilaian keberkesanan dasar ini akan bermula pada tahun 2012.

Rumusan

Dasar-dasar baru yang diperkenalkan oleh KPM adalah bertujuan untuk menambahbaik dan memperkasakan sistem pendidikan Malaysia. Ia harus disambut baik dan diterima dengan hati yang lapang dan terbuka terutamanya oleh warga pendidikan serta semua masyarakat. Kejayaan pelaksanaan dasar-dasar ini banyak bergantung kepada pemikiran positif warga pendidik yang bertindak sebagai pelaksana dasar.

Saya sangat berharap agar diri saya sebagai peneraju sekolah serta sokongan daripada para guru akan bertungkus lumus dengan hati yang ikhlas, mempunyai kefahaman yang tinggi dan sanggup berjuang untuk mempastikan kejayaan dasar-dasar ini di peringkat sekolah kita.


Sunday, May 15, 2011

TEKS UCAPAN SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH 2011

Bismillah hirrahman nirRahim.
Alhamdulillah hirabbil aalamin. Wassalatu wassalamu ala asrafil anbia' iwal mursalin, waala alihi wasahbihi ajmain.

Yang Berbahagia Encik Bidi bin Abdullah, YDP PIBG SMKKRA, Guru-guru Penolong Kanan, AJK PIBG, Guru-guru, seterusnya pelajar-pelajar SMKKRA yang cikgu hormati lagi kasihi sekalian.

Bersyukur ke hadrat Ilahikerana pada pagi yang mulia ini kita sama-sama berpeluang untuk meraikan sambutan Hari Guru 2011 bersamaan dengan kali yang ke 40 yang pernah diadakan. Sambutan Hari Guru adalah hari yang khusus dianugerahkan kepada kaum guru sebagai pengiktirafan negara kepada kaum guru. Terlebih dahulu saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerabat kerja sambutan hari guru SMKKRA 2011 yang terdiri daripada barisan AJK KEKAR dan juga badan pengawas yang telah bertungkus lumus merancang dan mengatur aktiviti sambutan. tahniah dan terima kasih.

Tuan puan dan pelajar-pelajar yang dihormati lagi disayangi sekalian.

Insya Allah, saya akan bahagikan ucapan saya ini kepada dua bahagian.
i. Permintaan pengetua kepada pelajar-pelajar
ii. Renungan buat diri dan guru-guru

Pelajar-pelajar putera puteri SMKKRA yang disayangi.
1. Yakinlah bahawa anda semua mempunyai potensi untuk mencapai kejayaan
2. Yakinlah bahawa emua guru sekolah ini sayang kepada anda
3. Yakinlah bahawa sekolah ini adalah tempat terbaik untuk kamu menimba ilmu
4. Yakinlah bahawa warga sekolah ini ingin melihat kamu mencapai kejayaan yang cemerlang
5. Yakinlah bahawa sekolah ini memberi ruang sepenuh-penuhnya untuk kamu mencungkil bakat dan menonjolkan potensi diri
6. Yakinlah bahawa guru-guru adalah manusia berhati mulia yang ingin melihat pelajar berjaya. Oleh itu hormati dan patuhi arahan dan kata-kata guru.
7. Kenangkan harapan dan pengorbanan ibu bapa pelajar-pelajar yang membanting tulang untuk mempastikan pelajar-pelajar dapat bersekolah dan mencapai kejayaan pada masa hadapan.
8. Gunakan masa mudamu untuk kamu mencari bekalan ilmu bagi menjami masa hadapan.
9. Jangan lepaskan peluang belajarmu agar kamu tidak menyesal di kemudian hari.
10. Kejayaan hanya tercapai oleh manusia biasa dari keluarga biasa yang belajar di sekolah biasa tetapi mempunyai semangat dan usaha yang luar biasa.

Renungan buat guru-guru dan aku.

Bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana memilih kita untuk berkhidmat sebagai seorang guru. Profesyen guru adalah bidang yang paling mulia dan disanjung tinggi oleh masyarakat. Ilmu yang ditinggalkan oleh guru-guru yang berdedikasi akan sentiasa dingati oleh setiap anak muridnya walaupun dia telah tiada. Jadilah kita seorang guru yang boleh mencetuskan inspirasi kepada anak-anak murid kita. Izinkan saya memetik ungkapan:

Bad teacher complaints
Good teacher explain
Better teacher demonstrates
Best teacher motivates
Great teacher inpires

Sejak dahulu lagi, guru-guru dikenali sebagai agen perubahan kepada masyarakat. Tema hari guru pada tahun ini "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara" menghendaki kita, kaum guru memahami dan menghayati aspirasi negara yang ingin menjadikan malaysia sebagai salah sbuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Modal insan yang dihasilkan melalui pendidikan sahaja akan dapat mempastikan visi tersebut akan tercapai. kaum guru semestinya tidak liat untuk sanggup berubah. perubahan dari segi cara berfikir, cara bertindak dan cara menangani sesuatu isu yang kita hadapi dalam memberikan pendidikan berkualiti kepada anak-anak pelajar kita.

saya cukup yakin, guru-guru SMKKRA bersedia untuk menggalas tanggungjawab ini. Apa yang penting ialah kita mestilah saling bekerjasama, bantu membantu dan rela berkorban.

Pepatah Melayu ada berpesan:

Tidak menguning padi dek kerana setangkai
Tidak menghijau rumput dek kerana serumpun
Tidak mekar sejambak bunga dek kerana sekuntum
Tidak akan tegak sebuah rumah dek kerana satu tiang.

Oleh itu, harapan saya, sempena dengan sambutan hari guru ini, guru-guru bersama-sama memurnikan niat meningkatkan azam dan membaiki kualiti diri bagi menjayakan agenda Kegemilangan SMKKRA yangs ama-sama kita hasratkan.

Insya Allah, sekiranya sekolah kita mencapai kejayaan cemerlang dalam PMR dan SPM nanti, PMR : 3 orang Semua A & GPS 2.79 dan SPM 1 orang semua A dan GPS 5.72, saya berjanji dengan bantuan PIBG dan kelab KEKAR bagi menjayakan Majlis Kesykuran pada Hari Guru 2012 nanti.

Akhir kata, saya tutup ucapan saya dengan Pantun Hari Guru

Puluhan tahun tempat tersemat
Rantau Abang tanah penyu
Enam belas Mei tarikh keramat
Bagi mengenang jasa guru

Hendak berburu di Kuala Abang
Banyak sitar dan juga punai
Jasa guru jika dibuang
Ibarat jalan tidak berdenai

Angin menderu dengan sepoinya
Di Kampung Baru tanahnya lapang
Kasih guru akan muridnya
Masa dan tenaga rela korbankan

Seberang Pinatasan Teluk Bidara
Teritip penuh di atas batu
Kasih murid akan gurunya
Terus berusaha menggalas ilmu

Rhu Batil inilah tempat
Kompleks sekolah tersergam indah
Tanpa ilmu hidup merempat
Diri dihina tiada yang endah.

Sekian, selamat hari guru 2011, Terima kasih cikgu.

MOHD ALIZIYAD BIN ABAS
Pengetua
SMK Kompleks Rantau Abang, Dungun

15 Mei 2011, 11.30 malam

Sunday, May 8, 2011

HARAPAN TUAN PENGARAH

Pada 8 Mei 2011, saya berkesempatan menghadiri Majlis Pengarah Bersama Pengetua-pengetua SM Terengganu yang diadakan di Dewan Planeterium, Pusat Dagangan Terengganu. Dalam majlis tersebut, tuan Pengarah Pelajaran Terengganu, En. Razali bin Daud telah melontarkan idea-idea dan wawasan beliau bagi mempastikan kelestarian keterbilangan pendidikan Terengganu terus dikekalkan.Antaranya ialah


1. Pihak pengurusan menggunakan Quality Thinking Time bagi mencaristrategi dan kaedah untuk memajukan sekolah.20% peruntukan masa pengurus sekolah digunakan untuk tujuan tersebut.


2. Analisis pencapaian UPSR/ PMR dan SPM Terengganu
UPSR - Terbaik dari segi peratus semua A PMR, tetapi Terengganu masih ketinggalan dari segi pencapaian Gred Purata Sekolah. Program-program kecemerlangan harus juga melibatkan murid tahun 4 dan tahun 5 bagi mempastikan penerusan kecemerlangan UPSR negeri.

PMR - Terengganu mencatatkan keputusan terbagi gred Purata PMR 2010 iaitu 2.58. Gred purata meningkat, tetapi pencapaian semua A masih tidak ketara.

SPM - Banyak peningkatan berlaku, Gred purata daripada 5.17 tahun 2009 meningkat kepada 5.03 bagi SPM 2010, Semua A daripada 283 orang kepada 405 orang pelajar dan bilangan semua A+ meningkat daripada 5 kepada 17 orang.


3. Pengetua harus mengambil peranan dengan menganalisis :

(i) Jurang Tindakan (Action Gap) - adakah perancangan 2010 sama dengan apa yang telah ddilaksanakan?
(ii) Jurang Keberhasilan (Result Gap) - adakah yang kita perolehi dalam tahun 2010 sama dengan apa yang kita targetkan?

Untuk itu, sebarang jurang yang diperolehi perlu difikirkan semula strateginya bagi penambahbaikan

Kita perlu membuat penilaian dan perbaiki :
i. Diri kita - attitude / sikap
ii. Cara kita bekerja
iii. Sistem kita bekerja


4. Pengurus / pengetua perlu melakukan kerja dengan kreatif dan inovatif:

(i) Membangunkan kebolehan / keupayaan berfikir secara analitikal dan kritikal
- buat analisis terperinci sebelum sesuatu program. Perlu dapatkan data dan anggaran keputusan.

(ii) Pemikiran Konsulting
- Bersedia menerima pandangan guru-guru dan staf dengan positif.

(iii) Pemikiran kreatif
- Melihat pendekatan-pendekatan baru dalam menyelesaikan isu-isu di sekolah
- Membangunkan pengetahuan dan perkembangan diri dan guru-guru di sekolah
- Banyakkan membaca

5. Tiga fokus utama bagi mencapai kecemerlangan:
(i) Kecemerlangan kepimpinan

4C great leadership
a. Condition - persekitaran yang boleh menarik orang lain untuk terlibat sama.
b. Coach - menggalakkan orang lain untuk mencapai potensi diri sebenar
c. Communication - buka seluas-luasnya ruang untuk berhubung dengan orang lain/ staf
d. Comformity - jelas visi dan nilai organisasi.

Pemimpin perlu peka terhadap keperluan dan kemahuan masyarakat-menjadi role model kepada sekolah kita.

5 amalan terbaik pemimpin yang berjaya:
1. Boleh menjadi suri teladan kepada pegawai bawahannya
2. Mempunyai visi yang dikongsi bersama
3. Sentiasa mencabar proses
4. Boleh memberi dorongan dan semangat bekerja kepada orang bawahan
5. Boleh memenangi hati orang bawahan.
Kecemerlangan Pengurusan : 20% daripada pemimpin & 80 % daripada orang yang dipimpin

Kecemerlangan Pengurusan :
1. Pengurusan Kewangan :

- Kesilapan dan didapati dalam pengurusan kewangan :
a. Perbelanjaan tidak berhemah & tidak mengikut peruntukan yang ada (AP58)
b. Melaksanakan program tanpa / tidak cukup peruntukan (AP59)
c. Elakkan pembelian barang yang tidak diperlukan
d. Jangan tandatangan SAP tanpa menyemak barang dengan sempurna.
SAP hanya pengetua yang tandatangan.

Pengetahuan :
- Proses pembelajaran berterusan
- Pengurusan sentiasa berubah dari semasa ke semasa
- Jangan jadi "Professional Trap"
- Memahami dan menghayati dasar-dasar baru KPM

Latihan :
- Orientasi budaya kerja ke arah berprestasi tinggi.
- Perlu menghadiri kursus
- Perlu laksanakan kursus kepada staf
- Usaha untuk melakukan yang lebih baik
* Kerja - melakukan sesuatu mengikut arahan
* usaha - melakukan sesuatu mengatasi arahan