Wednesday, November 23, 2011

CIRI-CIRI SEORANG PEKERJA YANG BAGUS

Berikut adalah antara sifat-sifat yang harus ada kepada seseorang guru bagi mempastikan Transformasi Pendidikan tercapai.
1. Berfikiran Positif : Berupaya untuk melihat situasi  dan orang daripada sudut yang positif. 
2. Paras Tenaga Yang Tinggi : Bertenaga serta mempunyai stamina untuk bekerja keras dan tidak mudah mundur
3. Integriti : Dipercayai, tabiat baik yang kukuh, kata-kata dan perbuatan seiringan.
4. Bertanggungjawab : Sentiasa menyempurnakan tugas, tidak memberi alasan, tugas yang diberi sentiasa selesai.
5. Imej Kendiri Yang Baik : Berasa yakin pada diri sendiri, pada hidup dan orang lain.
6. Tenaga Mental : berupaya untuk terus belajar seiring dengan pertambahan tugas.
7. Daya Kepimpinan : Berpengaruh ke atas orang lain.
8. Daya Kepengikutan : Kesediaan untuk patuh, bekerja dalam pasukan dan menuruti ketua.
9. Tiada Masalah peribadi : Urusan peribadi, rumahtangga dan kehidupannya terurus rapi.
10. Kemahiran Interpersonal : Keupayaan menawan orang dan mengembangkan potensi mereka.
11. Unsur Kecindan : Mesra dan mudah berjenaka
12. Daya Ketahanan : Berupaya untuk bingkas semula apabila berdepan dengan masalah
13. Rekod Yang Baik : Mempunyai kejayaan dan pengalaman.
14. Daya Keinginan  Yang Tinggi  : Keinginan untuk membangundan mengembangkan potensi diri.
15. Disiplin Diri : Bersedia untuk berkorban dan menangani kejayaan.
16. Kreatif Dan Inovatif : Berupaya untuk mencari penyelesaian dan merungkaikan masalah mengikut perspektif yang berbeza.
17. Elastik dan Dinamik : Tidak gentar untuk berubah, cair dan mengalir mengikut perubahan organisasi
18. Holistik : Berupaya untuk melihat secara total dan melimpasi kepentingan diri
19. Instuitif : Boleh meramal dan merasai sesuatu situasi tanpa data yang konkrit

RETROSPEKSI DIRI SEMPENA MAAL HIJRAH 1433

Selamat Tahun Baru 1433Hijrah.

Kedatangan Tahun Baru Islam seharusnya disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan.

Memperingati kisah perjuangan Rasulullah dan para sahabat yang  berhijrah bagi memelihara keimanan dan agama Islam menjadikan diri kita merasa sangat kerdil dan kecil dibandingkan dengan mereka.

Tiada lagi Hijrah sesudah Rasulullah s.a.w , tetapi yang ada  adalah berjihad ke jalan Allah. Jihad yang paling dituntut adalah jihad melawan nafsunya dalam usaha mentaati Allah dan berhijrah daripada apa yang dilarang oleh Allah.  Hijrah diertikan sebagai membawa sesuatu perubahan daripada buruk kepada baik atau daripada baik kepada yang lebih baik kepada diri seseorang. Oleh itu, keikhlasan untuk melaksanakan hijrah kepada perubahan diri amat penting. Niat untuk melakukan hijrah itu hendaklah kerana Allah, bukannya mengharapkan sesuatu yang lain daripada keredhaanNya.

Hadis Rasulullah s.a.w yang  diriwayatkan daripada  Saidina Umar al-Khattab r.a, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu hendaklah disertakan dengan niat:. Setiap perlakuan seseorang itu mesti ada niat dan tujuannya. Sesiapa yang  berhijrah kerana Allah dan Rasulullah, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan rasul. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapat dunia dan wanita yang akan dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah apa yang diniatkannya.

Pengajaran daripada peristiwa hijrah rasulullah s.a.w dan sahabatnya boleh dijadikan panduan dan titik tolak  kepada kita bagi menentukan sikap, strategi dan perancangan kerja buat kita. Jika kita inginkan kemajuan, maka kita mesti berhijrah atau berubah atau transformasi, kerana perubahan itu adalah merupakan fitrah kejadian makhluk ciptaan Allah s.w.t. Umpama rumput, kenapakan rumput boleh tumbuh dan hidup dimana-mana sahaja? Fauna dan flora zaman purba yang masih kekal hidup pada zaman ini , sedangkan ramai daripada kumpulan haiwan dan tumbuhan purba yang telah pupus. Ini kerana, salah satu ciri  makhluk yang boleh mengekalkan generasinya adalah melalui hijrah.  Kesimpulannya, jika kita ingin mencapai kemajuan, maka ia perlu membuat anjakan paradigma ke arah yang dikehendakinya.

Dalam menjana perubahan bagai sesebuah organisasi sekolah, beberapa aspek yang boleh dijadikan ikhtibar daripada peristiwa hijrah. Antaranya ialah Kepimpinana Melalui Teladan. Untuk berubah, maka pengetua dahulu yang perlu berubah terlebih dahulu. Tanpa teladan daripada pengetua, maka pengikut-pengikutnya tidak mungkin boleh dipaksa untuk berubah.

Hijrah juga membuktikan, kegigihan dan kesepaduan  gerak kerja para sahabat. Semangat dalaman yang kental dan sanggup berkorban menghadapi cabaran dan kepayahan adalah resepi kejayaan sesebuah organisasi untuk berubah. Jika semangat sanggup berkorban dan sanggup untuk berusaha sehabis tenaga ada pada setiap ahli organisasi, maka tidak mustahil  sekolah yang kurang berjaya akan mampu mengangkat darjatnya dalam jangka masa yang singkat.

Hijrah juga menuntut kerja secara berpasukan. Organisasi yang ingin menjana sesuatu perubahan ke arah kecemerlangan, harus menggunakan segala tenaga kepakaran ahli-ahlinya yang pelbagai dengan


Hadis Rasulullah, diriwayatkan daripada Saidina Umar al-Khattab bermaksud, sesungguhnya sesuatu amalan itu hendaklah disertakan dengan niat. Niat yang murni dan ikhlas pasti akan menghasilkan gerak kerja yang bersih dan berkualiti. Kejayaan sesebuah organisasi dalam menjalankan peranannya adalah amat bergantung kepada sejauh mana keikhlasan kerjabuat pekerja-pekerjanya.  Sesebuah organisasi sekolah, contohnya. sangat bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh guru-guru. Kecemerlangan sekolah bermakna kecemerlangan kerja buat guru-guru. Adalah sangat janggal sekiranya kerja buat guru-guru sekadar cukup syarat dan hanya mencukupkan masa bekerja akan menghasilkan sekolah yang cemerlang. Sekolah cemerlang terhasil dengan gemblingan tenaga guru-guru yang bekerja dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh. Kerja buat yang dilakukan adalah semata-mata untuk melihat kejayaan yang bakal dicapai.

Akhirnya, selaku seorang penjawat awam, bagi memenuhi semangat dan roh hijrah rasulullah, marilah kita sama-sama melakukan penghijrahan minda ke arah  pekerja yang sanggup belajar dan terus belajar bagi memantapkan lagi kemahiran dan pengetahuan kita dan seterusnya menjayakan hasrat dan harapan negara. Selamat tahun baru 1433 Hijrah.

Sunday, November 20, 2011

MAJLIS JASAMU ABADI : TUAN PENGARAH PELAJARAN TERENGGANU

Warga pendidik Terengganu telah kehilangan seorang tokoh pendidikan yang telah berjaya membawa kelestarian keterbilangan pendidikan Terengganu pada hari ini(20.11.2011). Pengarah Pelajaran Terengganu yang ke 42, En Razali bin Daud telah menjalankan tugas sebagai pengarah selama 1 tahun 20 hari iaitu bermula 1 November 2010 dan bersara daripada jawatannya pada 20.11.2011. Tarikh sebenar  persaraann beliau adalah 28.11.2011. Sepanjang tempoh setahun beliau memegang jawatan pengarah, banyak inovasi dan kejayaan yang telah dibawa kepada pendidikan Terengganu, antaranya adalah beliau memperkenalkan bacaan al-qur'an sebelum masuk kelas, mengembalikan kecemerlangan sekolah premier, memasyarakatkan pendidikan Terengganu, memantapkan pelan strategik 3 tahun JPNT dan sebagainya.

Kegemilangan pendidikan Terengganu terus dikekalkan pada tahun 2011 dalam semua aspek, antaranya ia terbukti dengan keputusan UPSR 2011, Terengganu terus unggul buat tahun ke-11 dengan peratus semua A, 15.6% dan GPS 2.14.

Encik Razali bin Daud yang saya kenali, sejak beliau berkhidmat sebagai Pengetua SBPI Batu Rakit sekitar tahun 2005-2006 adalah seorang yang lembut tetapi tegas, mmempunyai ketajaman fikiran dan penganalisis yang  tepat, bersifat  merendah diri dan seorang yang sangat mudah didekati.

Dari segi rekod perkhidmatan beliau,  beliau berkhidmat sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan selama 34 tahun, 7 bulan dan 14 hari. Bertugas di 8 buah sekolah, pernah menjadi pengetua di 6 buah sekolah. Menjadi Pegawai Pelajaran Daerah di 2 buah daerah, menjadi Ketua Sektor dan juga Timbalan Pengarah pelajaran negeri Terengganu.

Antara kata-kata nasihat terakhir beliau kepada pengetua-pengetua semasa jamuan perpisahan bersama MPSM pada 15.10.2011 di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu ialah:
1. Guru-guru dan pengetua perlu tahu prioriti tugas.
2. Pekerjaan sebagi pendidik adalah kerja mulia. Teruskan usaha, komitmen dan jangan berputus asa sehingga Allah memberi kejayaan kepada kita.
3. Bila mendapat pangkat, jangan sekali-kali sombong. Pangkat adalah amanah. Ingat tempat asal kita di mana
4. Kita kena bantu, jangan jatuhkan orang lain untuk kita naik
5. Berikan kemaafan kepada orang.
6. Jangan wujudkan kroni.

Selamat bersara, Tuan Pengarah. Syabas dan Tahniah atas kecemerlangan karier tuan. Jasa dan pengorbanan tuan  sebagai seorang guru dan pegawai pelajaran akan terus kekal tersemat bersama-sama dengan sejarah kecemerlangan yang tuan tinggalkan. Semoga misi dan visi beliau akan diteruskan oleh  pengarah yang bakal yang menggantikan beliau nanti.