Loading...

Sunday, July 24, 2011

MAJLIS BERSAMA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA PERINGKAT NEGERI TERENGGANU

Pada 21 Julai 2011 , Khamis yang lepas, saya berkesempatan menghadiri majlis merekayasa program-program dan dasar-dasar baru KPM kepada semua pengetua, guru besar dan PIBG sekolah-sekolah Terengganu bertempat di dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Daripada penjelasan dan konferensi dalam majlis ini, ia menggambarkan hasrat KPM untuk membuat transformasi kepada sistem pendidikan negara kita agar kualiti sistem pendidikan kita bertaraf dunia dan dalam masa yang sama ia boleh menjayakan misi menjadikan Malaysia negara Maju berpendapatan tinggi.

Antara dasar-dasar baru yang diperkenalkan ialah:

1. Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI)

Dasar MBMMBI telah diputuskan oleh Kabinet pada 8 Julai 2009 bertujuan untuk menambahbaik Dasar PPSMI. PPSMI yang bermula pada tahun 2003 telah menimbulkan polemik dan ketegangan yang berterusan daripada kalangan masyarakat. Rasional dasar ini diwujudkan adalah (i) Bahasa Inggeris dalam PPSMI telah menghakis kepentingan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu, (ii) Penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar yang mantap telah dilaksanakan sejak tahun 1970-an lagi, (iii) Kebanyakan negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa ibunda masing-masing dan (iv) PPSMI melebarkan lagi jurang pencapaian sains dan matematik antara murid di bandar dengan murid luar bandar.

Melalui dasar MBMMBI ini, ia berhasrat untuk meletakkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, bahasa pengantar dan bahasa perpaduan negara manakala Bahasa inggeris pula diperkukuhkan sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu. Matlamatnya adalah untuk melahirkan warga negara Malaysia yang fasih dan yakin untuk menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris standard.

Strategi MBMMBI digubal dengan cara:
1. Mentransformasi kurikulum BM dan BI
2. Memantapkan kapasiti guru-guru BM dan BI serta berkongsi kepakaran dengan penutur jati BI dan guru-guru kontrak.
3. Memperluaskan bahan dan TMK dalam BM dan BI.
4. Menempatkan guru-guru BM dan BI mengikut opsyen ikhtisas.
5. Meningkatkan penyertaan murid dalam aktiviti bahasa.
6. Mengukur pencapaian murid berdasarkan standard prestasi (PBS)

2. Transformasi Kurikulum
(Kurikulum Standard Sekolah Rendah, KSSR dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah, KSSM)

Kurikulum yang digubal sebagai agen perubahan untuk melahirkan insan murid yang berkualiti.
a. Berfikir secara kritikal dan bertindak rasional
b. Bersedia untuk bersaing dan membudayakan semangat untuk menerokai bidang-bidang baru yang mencabar.
c. Belajar, bekerja dan bekomunikasi dengan berkesan
d. Dapat mengakses dan menggunakan ICT
e. Dapat mengaplikasi dan meningkatkan budaya pembelajaran sepanjang hayat
f. Dapat mendisiplin diri dan masyarakat.

Kurikulum standard ini juga digubal bagi membolehkan pelajar-pelajar didedahkan kepada kemahiran belajar abad ke-21 iaitu (i) dapat berfikir secara kritis dan penyelesaian masalah, (ii) mempunyai kesedaran global, (iii) self directed / terarah kendiri, dan juga (iv) mampu belajar secara kumpulan / kolaborasi.

3. Transformasi pentaksiran
(Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan, SPPK)

Melalui transformasi pentaksiran, pelaksanaan PBS dan juga penambahbaikan UPSR dan PMR dimulakan kepada murid-murid Tahun 1 2011 dan murid-murid Tingkatan 1 pada tahun 2012. dasar pelaksanaan PBS lebih bersifat holistik dan mampu menilai jasmani, emosi, rohani dan intelek pelajar-pelajar. Tujuan PBS adalah untuk (i) memberi penekanan kepada JERI pelajar-pelajar, (ii) pentaksiran yang sedia ada lebih memberi penekanan kepada peperiksaan semata-mata, (iii) pentaksiran yang sedia ada memberi pengiktirafan yang keterlaluan kepada pencapaian akademik semata-mata sehinggakan memberikan tekanan kepada guru, murid dan ibu bapa, (iv) pentaksiran sedia ada menilai produk akhir sahaja dan mengabaikan proses pembelajaran, (v) ia dapat memartabatkan profesyen keguruan melalui guru lebih tahu akan anak muridnya dan (vi) mengambil kira sistem pentaksiran di beberapa negara maju telah berubah.

Walau bagaimanapun, kejayaan PBS banyak bergantung kepada cara kita mengatasi cabaran-cabaran berikut iaitu:
1. kesediaan dan kemahiran guru untuk melaksanakan PBS. Ini diatasi melalui program latihan dan pemantapan yang menyeluruh.
2. Beban tugas guru yang bertambah. Ia diatasi melalui penerangan dan sistem automasi pelaporan PBS
3. Integriti guru diragui. Ia diatasi dengan pemantauan, pementoran, pengesanan dan penyelarasan yang berterusan dari pelbagai peringkat.


4. Transformasi Pendidikan Teknik dan Vokasional

Dasar ini akan bermula pada tahun 2012 melalui KSSM di mana pendidikan vokasional & teknik (PVT) akan digabungkan di peringkat sekolah menengah rendah berbanding dengan sebelum ini mempunyai pelbagai elektif dalam KHB.PVT menggantikan KHB dengan hasrat:
i. Menuju negara maju menjelang 2020
ii. masyarakat berpendapatan tinggi
iii. Mengarus-perdanakan pendidikan vokasional
iv. Menjadikan aliran vokasional sebagai pilihan utama
v. Laluan kerjaya yang jelas bagi aliran vokasional

Melalui dasar ini juga ia dapat memenuhi keperluan kemahiran tenaga kerja abad ke-21 iaitu (i) komunikasi, (ii) kerohanian, sikap dan nilai, (iii) kemanusiaan, (iv) ketramplan diri, (v) perkembangan fizikal dan estetika dan (vi) sains dan teknologi.


5. Dasar 1 Murid 1 Sukan

Dasar ini diperkenalkan pada tahun 2010 yang mana setiap murid diwajibkan untuk menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sikan di sekolah. Melalui dasar ini, ia akan dapat melahirkan pelajar yang seimbang. Pendekatan pelaksanaan dasar ini adalah (i) program skan umum melalui merentas desa, sukantara dan kejohanan balapan dan padang, (ii) aktiviti kelab sukan dan permainan (iii) pertandingan dalaman seperti pertandingan antara rumah atau antara tingkatan dan (iv) Pertandingan-pertandingan lain seperti MSSD, MSSN, MSSM serta peringkat antara bangsa. Penilaian keberkesanan dasar ini akan bermula pada tahun 2012.

Rumusan

Dasar-dasar baru yang diperkenalkan oleh KPM adalah bertujuan untuk menambahbaik dan memperkasakan sistem pendidikan Malaysia. Ia harus disambut baik dan diterima dengan hati yang lapang dan terbuka terutamanya oleh warga pendidikan serta semua masyarakat. Kejayaan pelaksanaan dasar-dasar ini banyak bergantung kepada pemikiran positif warga pendidik yang bertindak sebagai pelaksana dasar.

Saya sangat berharap agar diri saya sebagai peneraju sekolah serta sokongan daripada para guru akan bertungkus lumus dengan hati yang ikhlas, mempunyai kefahaman yang tinggi dan sanggup berjuang untuk mempastikan kejayaan dasar-dasar ini di peringkat sekolah kita.